Teratak Muda Friend

Sunday, June 13, 2010

TANGISAN DUNIA


“ Mak, itu bukan salah saya mak! Saya tak rela pun dilakukan sebegitu rupa. Cubalah fahami saya mak, saya dah tak tahu nak buat apa lagi ni. Saya rasa yang saya dah terlalu kotor mak. Saya tak sanggup lagi begini mak, tolonglah terima saya dan anak dalam kandungan ni…mak tolonglah..saya merayu pada mak” Kata Sharifah kepada Mak Lijah sambil memeluk kaki ibunya itu dan saat itu juga tangisannya berderai jatuh.
Sharifah masih teringat kata-kata rayuan yang diucapkan kepada emaknya ketika itu tidak pun diendahkan oleh ibunya. Cerita ini bermula di mana Sharifah telah mengalami masalah yang bukan berpunca darinya. Tetapi emaknya salah faham dengannya dan kejadian ini telah menyebabkan dia dihalau dari rumahnya. Sharifah sebenarnya seorang wanita yang berumur 20 tahun yang baru memasuki sebuah universiti terkemuka di Malaysia. Atas harapan ibubapa dan keluarga, Sharifah belajar bersungguh-sungguh untuk mendapat keputusan terbaik setiap semester.
“ Ipah, mak nak kau belajar baik-baik kat sana tu nanti ya. Bukan pergi sana tu hanya untuk main-main je tau. Mak tak suka macam tu.” Kata Mak Lijah menasihati Sharifah semasa dia mengemas-gemas barang untuk dibawa ke asramanya.
“yaa mak..saya tak kan sia-siakan harapan mak dan ayah. Mak, doakan saya berjaya ya”. Balas Sharifah sambil memeluk ibunya.
“Yaa..Mak sentiasa mendoakan yang terbaik buat kau. Tapi ingat! jangan buat hal yang boleh memalukan keluarga kita di sana tu nanti.”. Tegas Mak Lijah memberi amaran kepada anak tungggalnya itu.
“ Saya janji mak. Saya tak akan buat masalah kat sana yang boleh mamalukan keluarga kita ni. Mak pegang kata-kata saya ni kalau mak tak percayakan saya.”. Kata Sharifah memberi keyakinan kepada ibunya.
“ Alhamdulillah..kalau macam tu, lega juga perasaan mak”.
Suasana di dewan kuliah semakin riuh apabila mahasiswa-mahasiswa telah masuk ke dalam dewan tersebut. Semuanya membuat hal sendiri, ada yang berborak dengan rakan-rakan, ada yang bermain facebook dalam laptop, dan sebagainya. Sharifah, Amira dan Fauziah berborak sambil mengunyah chewing gum yang diberi oleh Aziah sebentar tadi. Pelbagai cerita yang diborakkan oleh mereka. Tiba-tiba Fauziah menukar topik mereka. Dia bertanya tentang isu pembuangan bayi yang sedang rancak diperbualkan oleh penduduk Malaysia ketika ini.
“ Eh, korang tau tak pasal isu pembuangan bayi sekarang ni semakin menjadi-jadi kat Negara kita ni?”. Kata Fauziah kepada rakan-rakannya itu.
“ Erm aku ada dengar juga tu jiah, isu tu selalu je menghiasi dada akhbar sekarang ni kan? Entah siapa lah manusia yang tak berhati perut tu sanggup buang anak sendiri!”. Sharifah menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap isu tersebut.
“ Aku pun bengang betul dah dengan berita tu. diorang tu tau nak ‘buat’ je, tapi tak nak bertanggungjawab. Apa jenis manusia lah macam tu tau. Geram betul aku!”. Sampuk Amira.
“ishh..dia pulak yang lebih-lebih. Macam menteri je kau ek, menteri pun tak macam ni”. Fauziah menyakat Amira.
“ Ishhh korang ni..ni namanya prihatin. Bukan macam korang tu, tak prihatin langsonggg!! kalau korang lah yang kena, baru tau. Aku tak kan prihatin sikit pun dengan korang tau! hemm..”. Kata Amira sambil menjuihkan bibirnya.
Sedang rancak mereka berbual, tiba-tiba semua mahsiswa berlari ke tempat duduk mereka. Rupa-rupanya Prof. Amin iaitu pensyarah penulisan mereka telah sampai. Suasana yang sebelumnya bising bertukar menjadi sunyi. Mereka cukup kenal dengan sikap Prof. Amin yang tegas dan susah untuk dibawa bergurau. Walaupun begitu, dia sebenarnya seorang yang baik dan sentiasa membantu pelajar-pelajar yang berada dalam kesusahan. Dia juga seorang yang selalu memberi nasihat kepada pelajar-pelajarnya.
Walau setegas mana pun seseorang itu, pasti ada juga sedikit rasa belas kasihannya. Begitulah sebenarnya sikap yang dimiliki oleh Prof. Amin. Ketegasannya itu membuahkan hasil, iaitu pelajarnya tidak pernah seorang pun yang gagal dalam subjek yang diajar olehnya. Dia tidak menyukai istilah makan gaji buta dalam mendidik anak bangsa untuk menjadi orang yang berilmu yang bakal memimpin Negara. Bukan seperti segelintir pendidik sekarang yang hanya pada nama saja, tetapi kurang mendidik dengan cara betul. Mereka lebih membiarkan pelajar terkontang kanting berusaha sepenuhnya mencari ilmu sendiri tanpa dibantu oleh mereka. Apabila prestasi pelajar merosot, barulah mereka memarahi pelajar kerana tidak belajar bersungguh-sungguh.
Tepat jam 12.00 tengahari itu, Prof. Amin menamatkan kelasnya. Semua mahasiswa berebut-rebut keluar dari dewan kuliah untuk ke café membeli makanan. Semunya kelihatan kelaparan. Sharifah dan rakan-rakannya juga turut ke café kerana perut mereka juga telah lama berkeroncong sewaktu di dalam kuliah itu lagi. Mereka bertiga pun mempercepatkan langkah ke tempat yang dituju. Dalam perjalanan mereka ke café, mereka terserempak dengan sepasang kekasih yang sedang bergaduh. Pergaduhan mereka kelihatan serius dan si perempuannya telah menangis. Si lelaki hanya memperlihatkan wajahnya yang kelihatan begitu marah. Mukanya ibarat singa yang ingin menerkam mangsanya.
“ Abang! Apa ni haa? Dah dapat ‘rasa’..tak nak pulak bertanggungjawab. Abang ingat ayang ni mainan? Senang-senang je nak try, lepas dah try. Abang buang sesuka hati abang je!” Kata si perempuan memarahi teman lelakinya itu diikuti dengan tangisnya.
“ Eh, engkau jangan nak tipu aku ek. Bayi yang dalam kandungan kau tu bukan bayi aku! Entah dengan lelaki mana lah kau ‘main’, sedap-sedap je kau nak aku yang bertanggungjawab?!” Kata si lelaki menafikan tuduhan teman wanitanya.
“ Helloooo..abang jangan nak putar belit cerita, amboiiiii..dah dapat madu, sepah pula dibuang! Ayang tak kira, abang mesti bertanggungjawab juga atas kandungan ni!” Marah si perempuan sambil air matanya mengalir deras membasahi pipinya.
“ Eh, boleh tak kau diam! Kau nak malukan aku depan orang ramai kat sini. Kau nak mampos ke haa?!”. Kata si lelaki menekankan kata-katanya itu.
“ Haa..tahu pula abang malu ya. Yang abang buat tu tak malu pula! Apa ni bang? tolonglah terima anak dalam kandungan ni.” Rayu si perempuan.
“ Emm..relaxxxx..kalau kau masih sayang dengan hubungan kita ni, kau mesti gugurkan kandungan kau tu, macam mana? kau setuju tak?” Si lelaki memberi pendapatnya.
“ Eh, mana boleh macam tu! itu dosa namanya. Ayang tak nak gugurkan kandungan ni! Eh bang, kalau kita dah gugurkan zuriat yang diberi oleh tuhan. Mungkin kita tak akan dapat zuriat lagi kelak. Ayang tak nak macam tu!.” Jawab si perempuan.
“ Jadi, kau nak apa?! Ok, kalau kau tak nak gugurkan kandungan tu, hubungan kita ni setakat ini je. Kau boleh blah lah perempuan!.” Kata si lelaki lalu berlalu pergi meninggalkan teman wanitanya itu.
“ Abangggg….”
Lelaki itu terus pergi meninggalkan perempuan tersebut, biarpun perempuan itu memanggil-manggil namanya berkali-kali. Tetapi sedikit pun tidak diendahkannya. Nampaknya lelaki di dunia ini sudah tandus dengan kasih sayang. Mereka terlalu obses dengan dunia kepura-puraan yang dicipta oleh mereka sendiri dan yang akan memakan mereka suatu hari nanti. Tiba-tiba air mata Sharifah menitis di pipinya melihat perempuan yang telah ditinggalkan oleh teman lelakinya sebentar tadi. Dia terkesima melihat adegan dunia yang baru dilihatnya itu. Betapa takut dan gerunnya dia melihat lelaki seperti ini berada dalam kotak dirinya. Sukar untuk dia membayangkan lelaki yang seperti itu untuk mendampinginya.
Malam itu Sharifah berjalan kaki seorang diri dari perpustakaan tempat untuk dia online itu ke asramanya. Malam itu sangat sunyi. Dia merasakan seperti ada sebuah kereta di belakang sedang mengekorinya. Dia mempercepatkan langkahnya untuk sampai ke asrama dengan cepat.
Sampai di satu simpang, Sharifah memasuki simpang tersebut untuk memasuki ruang asrama itu. Belum sempat dia memasuki ruangan asrama itu, tiba-tiba tiga orang lelaki telah keluar dari kereta yang mengekorinya tadi dan menariknya masuk ke dalam kereta tersebut. Dia meronta-ronta untuk dilepaskan. Tapi apalah dayanya sebagai seorang wanita untuk melawan tiga orang lelaki tersebut. Jeritan demi jeritan yang dilakukannya, tak sedikit pun dipedulikan oleh tiga lelaki tersebut. Akhirnya seorang daripada mereka telah menekup mulutnya dengan menggunakan sapu tangan yang telah dibubuh ubat penenang. Sharifah masih mencuba untuk melepaskan diri, tetapi tetap tidak berjaya kerana dia merasakan badannya semakin lemah dan matanya lantas tertutup.
Dia langsung tidak menyedari apa yang telah berlaku pada dirinya. Selepas sahaja dia tersedar, dia terkejut apabila melihat tiga orang lelaki tersebut berada di sampingnya dan seorang daripada mereka telah memeluk tubuhnya. Betapa dia terperanjat lagi apabila menyedari tubuhnya tanpa sehelai benang pun. Dia menjerit ketakutan. Jeritannya itu menyebabkan ketiga-tiga lelaki itu terjaga dari tidur, seorang daripada mereka telah menampar mukanya kerana bengang dengan jeritan tersebut yang menyebabkan mereka semua terjaga. Sharifah lantas menarik selimut dari birai katil itu dan terus menyandar ke dinding sambil menangis teresak-esak.
“ Kenapa kamu sanggup lakukan saya begini? Saya tak pernah kacau kamu pun!.” Jerit Sharifah sambil menahan esak tangisnya.
“ Kau memang tak pernah kacau kami pun, tapi kami semua ni telah ‘terkacau’ dengan kecantikan kau.” Kata seorang daripada mereka sambil ketawa terbahak-bahak.
“ Kamu semua memang tak berhati perut! Sikit pun tak ada belas kasihan terhadap wanita! Kamu tak berhak digelar manusia!.” Katanya sambil mengambil bajunya dan terus berlalu pergi. Ketiga-tiga lelaki tersebut hanya membiarkan dia berlalu pergi kerana mereka sudah mendapat ‘kepuasan’ darinya. Begitulah sikap lelaki yang tidak bertanggungjawab ke atas wanita. Hanya mampu merosakkan dan bukannya melindungi.
Sharifah berjalan melimpasi jalan-jalan yang tidak diketahuinya. Perasaannya hancur berkecai dan dia merasakan dirinya terlalu kotor ketika itu. Fikirannya semakin bercelaru bila mengingatkan kejadian yang menimpa dirinya itu. Sesampai dia di asramanya, dia menangis teresak-esak. Teman sebiliknya risau melihat keadaannya itu. Dia tidak menceritakan masalahnya kerana takut mereka akan menghebohkan kepada satu universiti.
Hampir empat bulan dia tidak pulang ke rumah kerana takut diketahui oleh keluarganya. Perutnya juga sudah kelihatan sedikit. Dia semakin risau dengan keadaan itu. Pada hari itu, ibunya tiba-tiba menjenguknya di asramanya kerana risau tentang anaknya yang tidak memberi khabar berita selama empat bulan itu. Betapa terkejut ibunya apabila melihat perut anaknya yang membesar dan dia lantas membawa Sharifah pulang ke rumah.
Pertengkaran besar telah berlaku di antara Sharifah dan ibunya. Mak Lijah tidak percaya yang Sharifah telah dirogol, tetapi menganggap yang Sharifah telah tidur bersama kekasihnya. Betapa tertekannya dia ketika itu. Konflik jiwanya juga semakin memuncak. Dia kehilangan kata-kata dan tidak mampu untuk membela dirinya kerana fikirannya cukup kusut ketika itu.
Masalah yang datang bertubi-tubi menyinggah dirinya. Konflik terbesar yang diterimanya ialah apabila ibunya telah menghalaunya dari rumah. Puas dia merayu dengan ibunya untuk memaafkannya. Tetapi ibunya tetap berdegil dan tidak mahu menganggapnya sebagai anak lagi.
“ Mak, saya minta maaf mak kerana telah memalukan keluarga ni. Tapi ini bukan saya sengaja lakukan. Saya telah dirogol mak! Bukan saya melakukannya dengan rela. Percaya lah dengan saya mak.” Kata Sharifah sambil merayu-rayu kepada ibunya.
“ Kau jangan nak bohong dengan aku ipah! Aku dah tak nak terima anak seperti kau ni! Tak kenang budi orang tua, yang kau tahu hanya nak memalukan keluarga!.” Marah Mak Lijah.
“ Makkkk!!..Macam mana lagi caranya untuk saya katakan supaya mak percayakan saya?”
“ Sudaahhhh!!..Aku tak nak dengar apa-apa lagi dari kau. Anak kurang ajar! Pergi kau dari rumah ni. Aku tak nak lihat muka kau di sini. Berambus kau dari hidup kami. Nahhh!!” Kata Mak Lijah sambil membaling beg berisi pakaian Sharifah.
“ Makkkk…janganlah buat saya macam ni. Itu bukan salah saya mak. Mak tolonglah..saya rayu dengan mak.” rayu sharifah. Mak Lijah lantas naik ke rumah dan menghempap pintu rumahnya kerana terlalu geram dan marah terhadap anaknya itu. Tinggallah Sharifah menahan esak tangisnya dan mengambil beg yang telah dilemparkan padanya tadi. Dia berjalan melewati sepi di hatinya.
Betapa hancur hatinya apabila mengenangkan ibunya sendiri tidak mempercayai katanya. Dia kehilangan arah tujunya. Hatinya remuk hancur mengingatkan kata-kata ibunya yang begitu mengecewakan dirinya. Inilah pertama kali dia diusir dari rumah dan ini juga lah pertama kali ibunya marahkan dia sebegitu rupa. Dia cukup terkedu dengan kata-kata yang dilemparkan oleh ibunya ketika dia merayu untuk diterima kembali dalam keluarganya itu. Dia tidak tahu hendak ke mana lagi kerana semua rakan-rakannya juga meninggalkannya kerana alasan yang diberi oleh mereka cukup tidak masuk akal. Mereka memberi alasan bahawa mereka tidak ingin berkawan dengan orang yang tiada harga diri yang sanggup mengadaikan dirinya.
Semua rakan-rakannya telah lari daripadanya. Sungguh tidak disangka olehnya apabila Amira dan Fauziah juga menjauhkan diri daripadanya. Mereka memberi alasan yang sama seperti rakan-rakannya yang lain. Kesedihannya semakin bertambah apabila teman rapatnya juga tidak mempercayainya. Terlalu besar dan berat cabaran dan dugaan yang diberi kepadanya ketika itu. Dia menyangkakan Amira dan fauziah akan membela dirinya daripada dipermalukan oleh teman-teman sekelasnya. Tetapi sangkaannya meleset sama sekali. Dia mencuba sedaya upaya untuk meyakinkan teman rapatnya itu untuk mempercayainya.
“ Mira, jiah..aku ingat korang adalah kawan aku. Tapi, sampai hati korang biarkan aku menanggung semua ini sorang diri. Inikah yang dinamakan kawan?” Sharifah mengeluarkan kata-katanya tetapi Amira dan Fauziah hanya mendiamkan diri dan terus berlalu pergi meninggalkannya. Sedih dan pedih hatinya diperlakukan sebegitu rupa oleh temannya yang dulunya begitu memahami.
Dia membawa hatinya yang luka meredah hujan petang itu. Dia sudah tidak mampu menahan cacian yang diberi padanya. Dia mengusap-usap perutnya yang semakin hari memboyot besar. Dia singgah di kawasan masjid yang dia sendiri tidak mengetahui dimanakah tempatnya berada kini. Kawasannya seperti kawasan pedalaman yang tidak ramai penduduknya. Hatinya bersyukur kerana telah lari jauh daripada masalah yang membelenggunya. Biarpun begitu, sedikit kerisauan menjelma pada dirinya apabila mengenangkan bagaimana nasib bayinya yang bakal lahir nanti tanpa makanan, pakaian, dan tiada orang yang menguruskannya semasa dia bersalin nanti. Hatinya semakin gundah gulana memikirkannya. Pada saat itu, dia hanya mampu berdoa kepada Tuhan Yang Maha Esa agar diberi petunjuk dan pertolongan dariNYA. Dia yakin bahawa Allah iu maha pengasih dan penyayang, pasti akan membantu hamba-hambaNYA yang sedang dalam kesusahan.
‘ Assalammualaikum.” Suara seorang lelaki kedengaran di gegendang telinganya. Dia menaikkan bebola matanya ke atas memandang orang yang berdiri di depannya sambil berusaha untuk melarikan diri, tetapi gagal kerana perutnya yang memboyot itu menyukarkannya untuk bergerak pantas dan saat itu juga dia terjatuh. Pemuda itu lantas membantunya. Dia semakin ketakutan kerana traumanya masih belum hilang lagi mengenangkan dia dirogol oleh lelaki-lelaki yang tidak bertanggungjawab itu.
“ Eh, jangan takut. Saya tak makan orang. Saya Cuma ingin membantu saudari saja. Saya minta maaf kalau saya telah menakutkan saudari.” Kata pemuda itu dengan lembutnya.
Sharifah masih curiga dengan pemuda tersebut dan dia hanya mendiamkan diri. Pemuda itu seakan faham dengan situasi tersebut. Dia mencuba untuk mengorek dilemma yang dialami gadis itu. Ternyata dia berjaya membongkar semua masalah yang dihadapi Sharifah dan dia cukup bersimpati terhadap gadis itu. Hatinya yang murni itu membuatkan Sharifah mempercayainya. Rupa-rupanya pemuda itu adalah ustaz muda di kampung itu. Ustaz itu telah mendengar semua cerita-cerita Sharifah dan dia cukup bersimpati dengan keadaan Sharifah. Akhirnya dia membuat keputusan untuk menikahi gadis itu walaupun bukan atas dasar cinta. Tetapi dia yakin bahawa ada hikmah di sebalik semua ini. Sharifah pula bersyukur yang teramat sangat kerana doanya dimakbulkan oleh Allah. Dia percaya bahawa pemuda itu lah pentunjuk yang diberi dariNYA.
Kehidupan mereka sekeluarga bahagia, anak yang dilahirkan Sharifah itu diasuh dengan ajaran agama yang sempurna. Dia bersyukur kerana tidak membuang bayi itu seperti yang dilakukan oleh orang yang tidak bertanggungjawab yang semakin hari begitu berleluasa pembuangan bayi dilakukan.


Karya : AchieyQ Yma

0 comments:

Post a Comment